Jumaat, 26 April 2013

BIJAK TATABAHASA

KATA MAJMUK


Kata majmuk ialah perkataan yang dibentuk dengan cara merangkaikan dua kata dasar atau lebih.  Perkataan baharu yang terbentuk membawa makna tertentu atau khusus.  Beberapa contoh kata majmuk ialah biru laut, jalan raya, kaki ayam, mata pelajaran, meja tulis dan Perdana Menteri.
Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu tidak boleh menerima sebarang penyisipan sebarang unsur lain.  Misalnya, kata majmuk kerusi malas tidak boleh disisipkan perkataan yang, lalu membentuk kerusi yang malas.  Demikian jua kata majmuk merah muda menjadi tidak gramatis apabila disisipkan kata hubung dan, menjadi merah dan muda.
Jadi, satu cara kita hendak memastikan sama ada sesuatu frasa hendak memastikan sama ada sesuatu frasa itu kata majmuk atau frasa sahaja, maka sisipkan perkataan yang atau dan.  Dalam contoh di atas pastilah kerusi yang malas tidak betul.  Oleh itu, kerusi malas itu ialah kata majmuk.
Demikian juga halnya dengan frasa rumah sakit.  Apabila bentuk frasa ini disisipkan dengan perkataan yang, terbentuklah rumah yang sakit.  Betulkah frasa rumah yang sakit?  Tentu tidak.  Oleh itu, rangkai kata rumah sakit ialah kata majmuk.  Tetapi jika rumah besar bukan kata majmuk; sebaliknya frasa nama sahaja.
Kata majmuk terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:
1.        Kata majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas.
2.       Kata majmuk yang berbentuk istilah khusus.
3.       Kata majmuk yang mendukung maksud kiasan (simpulan bahasa)
Contoh kata majmuk untuk jenis yang pertama ialah nasi putih, nasi minyak, tengah hari dan Timbalan Perdana Menteri.  Untuk jenis yang kedua pula iaitu atur cara, urus setia,.  Namun begitu, terdapat sebilangan kecil kata majmuk yang di eja bergabung.  Kata majmuk yang dieja berangkai ini dianggap sudah mantap sebagai satu perkataan yang utuh walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar.  Contoh:
antarabangsa setiausaha beritahu matahari sukarela bumiputera suruhanjaya pesuruhjaya olahraga jawatankuasa kerjasama warganegara
Kata majmuk dapat mengalami proses penggandaan.  Ada dua cara penggandaan kata majmuk.  Bagi kata yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih, yang digandakan ialah unsure pertamanya.  Contoh:
Meja tulis – meja-meja tulis
Ketua murid – ketua-ketua murid
Menteri Besar – Menteri-Menteri Besar
Bagi kata majmuk yang dieja bercantum, penggandaan melibatkan keseluruhan perkataan.  Contoh:
Kakitangan – kakitangan-kakitangan
Jawatankuasa – jawatankuasa-jawatankuasa
Bumiputera – bumiputera-bumiputera
Tanggungjawab – tanggungjawab-tanggungjawab
Selain itu, kata majmuk juga menerima imbuhan lalu membentuk kata majmuk terbitan.  Pengimbuhan kata majmuk terdapat dalam dua bentuk, iaitu pertama, apabila kata majmuk menerima awalan atau akhiran, maka ejaannya terpisah.  Contoh:
Ber+campur aduk – bercampur aduk
Me+temu ramah – menemu ramah
Di+ambil alih – diambil alih
Daya serap+an – daya serapan
Kedua, apabila kata majmuk menerima apitan, kata majmuk terbitan yang terbentuk dieja bercantum.  Contoh:
Di+urus niaga + kan diurusniagakan
Me + satu padu + kan -  menyatupadukan
Pe + ambil alih + an - pengambilalihan
Begitulah huraian tentang kata majmuk bahasa Melayu.  Semoga dengan huraian ringkas ini dapat membantu para pelajar menggunakan bentuk kata majmuk yang betul.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan