Sabtu, 1 Jun 2013

Cerita Hukum D-M



Isu Hukum D-M (Syed Rojak), Ejaan (Mee) dan Lain-lain
Oleh Mohd Isa Abd Razak


SYED ROJAK

Rojak Telur Sotong RM4.00
Rojak Telur RM3.50
Rojak Mee RM4.00

Jikalau ayah Syed bernama Rojak atau Syed sangat suka makan rojak sehingga digelar “Syed Rojak”, maka kata nama “Syed Rojak” betul. Sekiranya nama ayah Syed ialah Rojak, namakan gerai itu “Gerai Syed bin Rojak”. Sekiranya, kata “rojak” itu ialah gelaran untuk Syed, gerai itu boleh dinamakan “Gerai Syed Rojak”. Jualan utama di gerai itu bukanlah rojak tetapi mungkin bunga, buah-buahan, kuih-muih dan lain-lain. Jadi kita pergi ke Gerai Syed (bin) Rojak untuk membeli bunga, buah atau kuih.
Jikalau hakikatnya nama ayah Syed bukanlah Rojak dan Syed tidak pernah digelar sebagai “Syed Rojak”, penggunaan kata nama itu silap. Sekiranya kata nama itu bermaksud jualan utama atau satu-satunya jualan di gerai itu ialah rojak, pihak berkuasa tempatan perlu mengarahkan pemilik gerai itu untuk menukar nama gerainya kepada Gerai Rojak Syed. Kata kawan saya, “Rojak di Gerai Rojak Syed itu sedap sungguh!”

“Mee” mungkin nama orang Tionghua. Jadi rojak Mee ialah rojak yang dibuat oleh Puan Mee (Sam Pah). Hal ini dikatakan demikian kerana kita pernah mendengar orang menyebut nasi lemak Mak Minah, pisang goreng Pak Misai, dan cendol pulut Bakar . Jikalau bahan utama rojak itu ialah mi, maka pihak berkuasa tempatan hendaklah menyuruh Tuan Syed merujuki buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua dan/atau Kamus Dewan Edisi Keempat. Berdasarkan konteks, “mee" itu bukanlah Puan Mee. Saya yakin *“mee" itu sebenarnya mi, iaitu sejenis bahan makanan yang rupanya seperti laksa tetapi biasanya berwarna kuning, dan biasanya juga diperbuat daripada tepung gandum.

“Rojak telur sotong” mungkin rojak istimewa di Gerai Rojak Syed. Kata kawan saya, “Aku belum pernah makan telur sotong. Aku hendak rasa rojak telur sotong di Gerai Rojak Syed itu. Mari kita ke sana.”

Saya membalas, “Lain kalilah, ya. Apabila gerai itu menjual rojak telur penyu, kira-kira empat biji sepinggan, barulah kita pergi. Harganya RM4.00 juga. Ha ha.”

Ahad, 19 Mei 2013

PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN

Kepada semua murid SK Alor Pongsu Bagan Serai Perak, khususnya anak-anak didik cikgu kelas Enam Arif, selamat menduduki Peperiksaan Pertengahan Tahun 2013 yang akan bermula pada Isnin 20.05.2013. Jadikanlah peperiksaan kali ini sebagai satu petanda yang positif bagi anda sebelum menjelangnya UPSR nanti. Tenangkan fikiran sepanjang masa peperiksaan. Jawab soalan yang mudah dahulu.Bagi soalan yang sukar pula, fikirlah berkali-kali. Insya-Allah dengan berkat usaha dan doa semua pihak, anda akan berjaya.Hasilkan keputusan yang terbaik..

Sabtu, 18 Mei 2013

Kenali Zaaba


Zainal Abidin Ahmad (16 September 1895 - 23 Oktober 1973), juga dikenali sebagai Zaaba merupakan seorang sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.
Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.
 Dilahirkan di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan, Zaaba menerima pendidikan awalnya di sebuah sekolah Melayu di Linggi. Beliau menyambung pembelajarannya di Institusi St. Paul Seremban dan merupakan orang Melayu pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan pada 1915.

Isnin, 13 Mei 2013

Karangan Berita Enam Al Farabi

Soalan: Baru-baru ini sekolah kamu telah mengadakan Minggu Bahasa Melayu 2013.Kamu diminta menulis berita tentang perjalanan Minggu Bahasa Melayu 2013. Tuliskan beita berkenaan selengkapnya.

Sila gunakan rangka karangan yang disediakan di bawah.

Pendahuluan:
  • nama program
  • tempoh program
  • perasmian
  • perasmi dan acara 

Isi 1 : Pertandingan Bercerita
  • penyertaan murid tahap 1 dan 2
  • tempat pertandingan
  • hakim pertandingan
  • suasana pertandingan

Isi 2 : Berbalas Pantun
  • penyertaan murid tahap 2
  • tempat pertandingan
  • hakim pertandingan
  • suasana pertandingan
  •  
Isi 3 : Pertandingan Melukis dan Mewarna Poster
  • penyertaan murid prasekolah
  • tempat pertandingan
  • hakim pertandingan
  • suasana pertandingan

 Penutupan: Majlis Penutupan
  • penyampaian hadiah
  • acara persembahan
  • perasmian penutupan
  • suasana majlis.

 Selamat mengarang. Jangan malas bertanya.


 

Ahad, 12 Mei 2013

Dipanggil atau Disebut



Penggunaan kata panggil bagi maksud sebut agak meluas digunakan. Dalam tulisan ilmiah dan rencana-rencana umum sering kita temukan ayat-ayat seperti yang berikut ini:

  • Alat ciptaan itu dipanggil “Gurger Mullar”
  • Atom-atom sebatan sekarang dipanggil molekul
  • Permukaan bumi ini sebahagian besarnya diliputi oleh air yang dipanggil “jagat air”.
  • Atom-atom yang sama nombor jisimnya tetapi berlainan nombor atomnya dipanggil isobar.
  • Unsur yang menjadi pokok pembicaraannya ayat dipanggil subjek.
 Penggunaan kata dipanggil dalam kelima-lima ayat itu ialah terjemahan terus kata is called dalam bahasa Inggeris. Telah banyak sekali unsur bahasa Inggeris yang telah masuk ke dalam bahasa Melayu. Unsur yang baik sahaja yang perlu diterima tetapi unsur yang mungkin mencacatkan bahasa kita patut dihindarkan.
Kata panggil bermaksud menyuruh datang atau kembali dengan menyebut namanya. Panggilan pula bermaksud bunyi orang berteriak:suara orang memanggil atau gelaran yang diberikan kepada seseorang yang dipanggil. Di sini dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa kata panggil hanya sesuai digunakan untuk makhluk yang dapat menyahut atau sekurang-kurangnya memahami panggilan. Penggunaan kata dipanggil dalam ayat-ayat tadi tidaklah tepat. Kata yang sesuai ialah disebut, dinamai, aqtau diberi nama. Ayat-ayat tersebut hendaklah dinyatakan sebagai :

  • Alat ciptaan itu disebutl “Gurger Mullar”
  • Atom-atom sebatan sekarang disebut molekul
  • Permukaan bumi ini sebahagian besarnya diliputi oleh air yang disebut “jagat air”.
  • Atom-atom yang sama nombor jisimnya tetapi berlainan nombor atomnya disebut isobar.
  • Unsur yang menjadi pokok pembicaraannya ayat disebut subjek.
 Rumusannya, tidak semua kata daripada bahasa Inggeris sesuai untuk diserapkan ke dalam bahasa Melayu.

Dipetik daripada buku Tuntunan Bahasa - Awang Sariyan

Jumaat, 10 Mei 2013

Kata Hubung di Pangkal Ayat


Sebilangan pengguna bahasa Melayu mengalami kekeliruan tentang kehadiran kata hubung di pangkal ayat. Mereka berpendapat bahawa kata hubung sepatutnya hadir di bahagian tengah ayat, bukan di pangkal ayat. Pendapat ini tidak benar. Jika mereka menguasai binaan ayat, kekeliruan ini sudah pasti tidak akan berlaku. Sila perhatikan ayat (1) hingga (5) yang berikut ini:
1. Bahawa masalah itu sangat rumit dinyatakan oleh beliau.
2. Untuk pihak kerajaan menangani masalah itu amatlah sukar.
3. Kerana tidak berpuas hati, beliau telah menentang ketuanya.
4. Walaupun tidak berpelajaran tinggi, beliau mampu melebarkan perniagaannya ke peringkat antarabangsa.
5. Yang ini menu kegemaran saya.

Dalam ayat (1) perkataan “bahawa” ialah kata hubung pancangan komplemen. Kata hubung ini menduduki bahagian hadapan ayat setelah berlakunya proses pasif atau pemasifan. Ayat tersebut sebenarnya berasal daripada ayat yang berikut:
1(a) Beliau menyatakan bahawa masalah itu sangat rumit. (Ayat aktif)
Apabila ayat aktif di atas ini dipasifkan, klausa “bahawa masalah itu sangat rumit” dikedepankan untuk membentuk ayat (1), iaitu:
1.Bahawa masalah itu sangat rumit dinyatakan oleh beliau.

Ayat (2) pula ialah ayat majmuk komplemen “untuk”. Ayat tersebut sebenarnya terdiri daripada dua ayat yang berikut, iaitu:

2(a) Pihak kerajaan menangani masalah itu.
2(b) Masalah itu amatlah sukar.
Apabila ayat tunggal 2(a) dan 2(b) digabungkan, ayat (2) yang terbentuk seperti yang di bawah ini:
2.Untuk pihak kerajaan menangani masalah itu amatlah sukar.
Apabila digabungkan, lazimnya bahagian “pihak kerajaan” digugurkan. Oleh hal yang demikian, kita sering menemukan ayat yang di bawah ini:
2(c) Untuk menangani masalah itu amatlah sukar.
Hal ini menjadi demikian kerana kata hubung “untuk” lazimnya diikuti oleh kata kerja, bukan kata atau frasa nama seperti “pihak kerajaan”.

Khamis, 9 Mei 2013

Hidung Bak Seludang



Masyarakat Melayu lama percaya kepada ilmu firasat, iaitu mengetahui perangai dan kelakuan seseorang berdasarkan bentuk tubuh, tanda-tanda pada badan, wajah malah bau peluhnya. Antara tempat yang menjadi perhatian ialah hidung.
Hidung yang agak besar mencerminkan seseorang itu cepat tersinggung, nafsunya besar dan agak pemalas. Hidung agak besar dan bulat pula mencerminkan dia seseorang yang bergaya.
Pelbagai bentuk hidung yang terdapat dalam kalangan ahli masyarakat kita. Hidung yang bagaimana yang  sering mendapat perhatian?
Hidung juga adalah antara anggota kebanggaan bangsa Melayu seperti perumpamaan “Hidung Bak Seludang” menggambarkan hidung mancung idaman bangsa kita. Mungkin kerana memang bangsa Melayu dijadikan Allah majoritinya berhidung pesek dan penyek, maka mereka mengidamkan hidung mancung.
Hidung mancung bak seludang ialah hidung yang cantik mencuat ke atas. Apakah seludang?Seludang ialah bahagian pokok kelapa yang bentuknya seperti hidung manusia yang dilihat dari sisi tepi.  Pernahkah anda melihatnya? Cuba lihat gambar di bawah. Persoalan tadi mungkin terjawab.