Sebilangan
pengguna bahasa Melayu mengalami kekeliruan tentang kehadiran kata hubung di
pangkal ayat. Mereka berpendapat bahawa kata hubung sepatutnya hadir di
bahagian tengah ayat, bukan di pangkal ayat. Pendapat ini tidak benar. Jika
mereka menguasai binaan ayat, kekeliruan ini sudah pasti tidak akan berlaku.
Sila perhatikan ayat (1) hingga (5) yang berikut ini:
1. Bahawa masalah itu sangat rumit dinyatakan oleh beliau.
2. Untuk pihak kerajaan menangani masalah itu amatlah sukar.
3. Kerana tidak berpuas hati, beliau telah menentang ketuanya.
4. Walaupun tidak berpelajaran tinggi, beliau mampu melebarkan perniagaannya ke
peringkat antarabangsa.
5. Yang ini menu kegemaran saya.
Dalam ayat (1) perkataan “bahawa” ialah kata hubung
pancangan komplemen. Kata hubung ini menduduki bahagian hadapan ayat setelah
berlakunya proses pasif atau pemasifan. Ayat tersebut sebenarnya berasal
daripada ayat yang berikut:
1(a) Beliau menyatakan bahawa masalah itu sangat rumit.
(Ayat aktif)
Apabila ayat aktif di atas ini dipasifkan, klausa “bahawa
masalah itu sangat rumit” dikedepankan untuk membentuk ayat (1), iaitu:
1.Bahawa
masalah itu sangat rumit dinyatakan oleh beliau.
Ayat
(2) pula ialah ayat majmuk komplemen “untuk”. Ayat tersebut sebenarnya
terdiri daripada dua ayat yang berikut, iaitu:
2(a)
Pihak kerajaan menangani masalah itu.
2(b)
Masalah itu amatlah sukar.
Apabila
ayat tunggal 2(a) dan 2(b) digabungkan, ayat (2) yang terbentuk seperti yang di
bawah ini:
2.Untuk
pihak kerajaan menangani masalah itu amatlah sukar.
Apabila
digabungkan, lazimnya bahagian “pihak
kerajaan” digugurkan. Oleh hal yang demikian, kita sering menemukan ayat
yang di bawah ini:
2(c)
Untuk
menangani masalah itu amatlah sukar.
Hal
ini menjadi demikian kerana kata hubung “untuk” lazimnya diikuti oleh kata
kerja, bukan kata atau frasa nama seperti “pihak
kerajaan”.
Ayat
(3) juga merupakan ayat yang gramatis. Ayat ini ialah ayat majmuk pancangan
keterangan yang disongsangkan. Ayat (3) ini berasal daripada ayat yang berikut:
3(a)
Beliau telah menentang ketuanya kerana tidak berpuas hati.
Dalam
bahasa Melayu, ayat 3(a) boleh disongsangkan dalam beberapa bentuk susunan
seperti yang di bawah ini:
3.Kerana
tidak berpuas hati, beliau telah menentang ketuanya
3(b)
Kerana
tidak berpuas hati, telah menentang ketuanya beliau.
3(c)
Telah menentang ketuanya beliau kerana tidak berpuas hati.
Walaupun
ayat di atas ini kelihatan pelik, ketiga-tiga ayat tersebut gramatis kerana
mempunyai bahagian subjek dan predikat. Namun demikian, ayat yang sering
digunakan sebagai ayat songsang ialah ayat (3).
Ayat
(4) juga gramatis. Ayat tersebut dikenal sebagai ayat yang bersusunan songsang.
Ayat tersebut berasal daripada ayat yang berikut:
4(a)
Beliau mampu melebarkan perniagaannya ke peringkat antarabangsa walaupun
tidak berpelajaran tinggi.
Ayat
4(a) dikenal sebagai ayat majmuk pancangan keterangan yang membawa maksud
pertentangan.
Marilah
kita meneliti ayat (5) pula. Ayat ini juga gramatis.
5.Yang ini menu kegemaran saya.
Dalam bahasa Melayu, perkataan “yang”
ialah kata hubung pancangan relatif. Dalam ayat tertentu, perkataan “yang”
dapat berfungsi sebagai frasa nama apabila berlakunya pengguguran subjek
seperti ayat yang dikemukakan.
Dalam ayat 5, perkataan “yang” ialah kata hubung pancangan relatif yang telah
berfungsi sebagai frasa nama. Ayat (5) tersebut sebenarnya berasal daripada
ayat yang berikut:
5(a) Menu yang ini menu kegemaran saya.
Apabila subjek ayat, iaitu “menu”
digugurkan, perkataan “yang” berfungsi sebagai frasa nama.
Oleh hal yang demikian, ayat (5) betul.
Ayat yang mempunyai frasa nama “yang”
sebagai subjek perlulah mempunyai partikal “-lah” apabila
disongsangkan untuk memberikan penekanan bagi membezakan bahagian predikat yang
dikedepankan dengan bahagian subjek yang menduduki bahagian subjek.
Marilah kita lihat ayat (5) tersebut apabila
disongsangkan.
5.Yang ini menu kegemaran saya. (Ayat
susunan biasa)
5(b) Menu kegemaran sayalah yang
ini. (Ayat susunan songsang)
Dalam
hal ini, pengguna bahasa Melayu perlulah
memahami bahawa kata hubung pancangan relatif “yang” boleh hadir di
hadapan ayat apabila “yang” berfungsi sebagai frasa nama
selepas berlakunya pengguguran subjek. Sila teliti pantun yang berikut ini:
Yang kurik
itu kundi,
Yang
merah itu saga,
Yang
baik itu budi,
Yang indah
itu bahasa.
Dalam
pantun di atas ini, semua perkataan “yang” tersebut berfungsi sebagai
frasa nama.
Sebagai
kesimpulannya, kata hubung boleh hadir di pangkal ayat. Bagi kata hubung
pancangan komplimen bahawa, kehadirannya di hadapan ayat berlaku apabila bahagian
objek dikedepankan dalam ayat pasif. Bagi kata hubung komplemen untuk
pula, kehadirannya di hadapan ayat apabila klausa komplemen tersebut
berfungsi sebagai subjek. Bagi kata hubung pancangan keterangan “kerana”
dan “walaupun”
pula, kata hubung hadir di hadapan ayat setelah bahagian keterangan
disongsangkan. Bagi perkataan “yang” pula, kata hubung ini hadir di
pangkal ayat setelah kata hubung tersebut berfungsi sebagai frasa nama selepas
subjek ayat mengalami pengguguran.
Sebagai pengguna bahasa, kita perlu menguasai ayat supaya kita dapat membezakan
ayat yang gramatis dengan ayat yang tidak gramatis.
sumber Abd Ghalib Yunus Munsyi Dewan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan