KATA PANGGILAN HORMAT
Terdapat berbagai-bagai bentuk
kata ganti diri dalam bahasa Melayu. Aspek yang berkaitan dengan hal itu ialah
kata panggilan hormat. Khususnya dalam suasana rasmi, panggilan hormat ini amat
penting kita kuasai. Dengan begitu kita tidak akan dikatakan tidak tahu bahasa
atau tidak tahu adat.
Bentuk-bentuk panggilan hormat
dalam bahasa Melayu mencerminkan kehalusan budi bahasa dan sikap menghormati
orang. Setiap bentuk itu menandai letak atau kedudukan orang tertentu.
Dalam pentadbiran negara, orang
yang menjadi tulang belakang ialah Ketua Setiausaha Negara. Di peringkat negeri
ada Setiausaha Kerajaan Negeri. Mereka ini dipanggil Yang Berhormat.
Dalam masyarakat kita banyak
orang yang dikurnia bintang oleh yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Raja. Antara penerima
bintang itu ada yang diberi gelar seperti Tun, Tan Sri, Dato’ dan Datuk. Bagi
yang bergelar Dato’ atau Datuk dan Tan Sri tetapi tidak memegang jawatan
seperti Menteri atau jawatan lain yang membolehkannya dipanggil Yang Berhormat,
panggilan hormatnya ialah Yang Berbahagia. Bagi yang bergelar Tun pula
panggilan hormatnya ialah Yang Amat Berbahagia.
Bentuk panggilan hormat yang
paling umum ialah Yang Mulia. Panggilan ini sesuai untuk berbagai-bagai
golongan yang lain daripada yang dibincangkan tadi. Jadi apabila anda menulis
surat rasmi atau mempengerusikan sesuatu majlis, eloklah anda menggunakan
panggilan hormat itu. Selain Yang Mulia anda mungkin pernah mendengar bentuk
panggilan Yang Berusaha. Bentuk ini biasanya digunakan untuk merujuk kepada
orang yang mengendalikan sesuatu tugas khas seperti pengerusi dan setiausaha.
Demikianlah beberapa bentuk
panggilan hormat yang perlu anda ketahui dan selanjutnya digunakan baik dalam
penulisan surat rasmi mahupun dalam majlis rasmi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan