Sabtu, 1 Jun 2013

Cerita Hukum D-M



Isu Hukum D-M (Syed Rojak), Ejaan (Mee) dan Lain-lain
Oleh Mohd Isa Abd Razak


SYED ROJAK

Rojak Telur Sotong RM4.00
Rojak Telur RM3.50
Rojak Mee RM4.00

Jikalau ayah Syed bernama Rojak atau Syed sangat suka makan rojak sehingga digelar “Syed Rojak”, maka kata nama “Syed Rojak” betul. Sekiranya nama ayah Syed ialah Rojak, namakan gerai itu “Gerai Syed bin Rojak”. Sekiranya, kata “rojak” itu ialah gelaran untuk Syed, gerai itu boleh dinamakan “Gerai Syed Rojak”. Jualan utama di gerai itu bukanlah rojak tetapi mungkin bunga, buah-buahan, kuih-muih dan lain-lain. Jadi kita pergi ke Gerai Syed (bin) Rojak untuk membeli bunga, buah atau kuih.
Jikalau hakikatnya nama ayah Syed bukanlah Rojak dan Syed tidak pernah digelar sebagai “Syed Rojak”, penggunaan kata nama itu silap. Sekiranya kata nama itu bermaksud jualan utama atau satu-satunya jualan di gerai itu ialah rojak, pihak berkuasa tempatan perlu mengarahkan pemilik gerai itu untuk menukar nama gerainya kepada Gerai Rojak Syed. Kata kawan saya, “Rojak di Gerai Rojak Syed itu sedap sungguh!”

“Mee” mungkin nama orang Tionghua. Jadi rojak Mee ialah rojak yang dibuat oleh Puan Mee (Sam Pah). Hal ini dikatakan demikian kerana kita pernah mendengar orang menyebut nasi lemak Mak Minah, pisang goreng Pak Misai, dan cendol pulut Bakar . Jikalau bahan utama rojak itu ialah mi, maka pihak berkuasa tempatan hendaklah menyuruh Tuan Syed merujuki buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua dan/atau Kamus Dewan Edisi Keempat. Berdasarkan konteks, “mee" itu bukanlah Puan Mee. Saya yakin *“mee" itu sebenarnya mi, iaitu sejenis bahan makanan yang rupanya seperti laksa tetapi biasanya berwarna kuning, dan biasanya juga diperbuat daripada tepung gandum.

“Rojak telur sotong” mungkin rojak istimewa di Gerai Rojak Syed. Kata kawan saya, “Aku belum pernah makan telur sotong. Aku hendak rasa rojak telur sotong di Gerai Rojak Syed itu. Mari kita ke sana.”

Saya membalas, “Lain kalilah, ya. Apabila gerai itu menjual rojak telur penyu, kira-kira empat biji sepinggan, barulah kita pergi. Harganya RM4.00 juga. Ha ha.”