Ahad, 19 Mei 2013

PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN

Kepada semua murid SK Alor Pongsu Bagan Serai Perak, khususnya anak-anak didik cikgu kelas Enam Arif, selamat menduduki Peperiksaan Pertengahan Tahun 2013 yang akan bermula pada Isnin 20.05.2013. Jadikanlah peperiksaan kali ini sebagai satu petanda yang positif bagi anda sebelum menjelangnya UPSR nanti. Tenangkan fikiran sepanjang masa peperiksaan. Jawab soalan yang mudah dahulu.Bagi soalan yang sukar pula, fikirlah berkali-kali. Insya-Allah dengan berkat usaha dan doa semua pihak, anda akan berjaya.Hasilkan keputusan yang terbaik..

Sabtu, 18 Mei 2013

Kenali Zaaba


Zainal Abidin Ahmad (16 September 1895 - 23 Oktober 1973), juga dikenali sebagai Zaaba merupakan seorang sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.
Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.
 Dilahirkan di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan, Zaaba menerima pendidikan awalnya di sebuah sekolah Melayu di Linggi. Beliau menyambung pembelajarannya di Institusi St. Paul Seremban dan merupakan orang Melayu pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan pada 1915.

Isnin, 13 Mei 2013

Karangan Berita Enam Al Farabi

Soalan: Baru-baru ini sekolah kamu telah mengadakan Minggu Bahasa Melayu 2013.Kamu diminta menulis berita tentang perjalanan Minggu Bahasa Melayu 2013. Tuliskan beita berkenaan selengkapnya.

Sila gunakan rangka karangan yang disediakan di bawah.

Pendahuluan:
  • nama program
  • tempoh program
  • perasmian
  • perasmi dan acara 

Isi 1 : Pertandingan Bercerita
  • penyertaan murid tahap 1 dan 2
  • tempat pertandingan
  • hakim pertandingan
  • suasana pertandingan

Isi 2 : Berbalas Pantun
  • penyertaan murid tahap 2
  • tempat pertandingan
  • hakim pertandingan
  • suasana pertandingan
  •  
Isi 3 : Pertandingan Melukis dan Mewarna Poster
  • penyertaan murid prasekolah
  • tempat pertandingan
  • hakim pertandingan
  • suasana pertandingan

 Penutupan: Majlis Penutupan
  • penyampaian hadiah
  • acara persembahan
  • perasmian penutupan
  • suasana majlis.

 Selamat mengarang. Jangan malas bertanya.


 

Ahad, 12 Mei 2013

Dipanggil atau Disebut



Penggunaan kata panggil bagi maksud sebut agak meluas digunakan. Dalam tulisan ilmiah dan rencana-rencana umum sering kita temukan ayat-ayat seperti yang berikut ini:

  • Alat ciptaan itu dipanggil “Gurger Mullar”
  • Atom-atom sebatan sekarang dipanggil molekul
  • Permukaan bumi ini sebahagian besarnya diliputi oleh air yang dipanggil “jagat air”.
  • Atom-atom yang sama nombor jisimnya tetapi berlainan nombor atomnya dipanggil isobar.
  • Unsur yang menjadi pokok pembicaraannya ayat dipanggil subjek.
 Penggunaan kata dipanggil dalam kelima-lima ayat itu ialah terjemahan terus kata is called dalam bahasa Inggeris. Telah banyak sekali unsur bahasa Inggeris yang telah masuk ke dalam bahasa Melayu. Unsur yang baik sahaja yang perlu diterima tetapi unsur yang mungkin mencacatkan bahasa kita patut dihindarkan.
Kata panggil bermaksud menyuruh datang atau kembali dengan menyebut namanya. Panggilan pula bermaksud bunyi orang berteriak:suara orang memanggil atau gelaran yang diberikan kepada seseorang yang dipanggil. Di sini dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa kata panggil hanya sesuai digunakan untuk makhluk yang dapat menyahut atau sekurang-kurangnya memahami panggilan. Penggunaan kata dipanggil dalam ayat-ayat tadi tidaklah tepat. Kata yang sesuai ialah disebut, dinamai, aqtau diberi nama. Ayat-ayat tersebut hendaklah dinyatakan sebagai :

  • Alat ciptaan itu disebutl “Gurger Mullar”
  • Atom-atom sebatan sekarang disebut molekul
  • Permukaan bumi ini sebahagian besarnya diliputi oleh air yang disebut “jagat air”.
  • Atom-atom yang sama nombor jisimnya tetapi berlainan nombor atomnya disebut isobar.
  • Unsur yang menjadi pokok pembicaraannya ayat disebut subjek.
 Rumusannya, tidak semua kata daripada bahasa Inggeris sesuai untuk diserapkan ke dalam bahasa Melayu.

Dipetik daripada buku Tuntunan Bahasa - Awang Sariyan

Jumaat, 10 Mei 2013

Kata Hubung di Pangkal Ayat


Sebilangan pengguna bahasa Melayu mengalami kekeliruan tentang kehadiran kata hubung di pangkal ayat. Mereka berpendapat bahawa kata hubung sepatutnya hadir di bahagian tengah ayat, bukan di pangkal ayat. Pendapat ini tidak benar. Jika mereka menguasai binaan ayat, kekeliruan ini sudah pasti tidak akan berlaku. Sila perhatikan ayat (1) hingga (5) yang berikut ini:
1. Bahawa masalah itu sangat rumit dinyatakan oleh beliau.
2. Untuk pihak kerajaan menangani masalah itu amatlah sukar.
3. Kerana tidak berpuas hati, beliau telah menentang ketuanya.
4. Walaupun tidak berpelajaran tinggi, beliau mampu melebarkan perniagaannya ke peringkat antarabangsa.
5. Yang ini menu kegemaran saya.

Dalam ayat (1) perkataan “bahawa” ialah kata hubung pancangan komplemen. Kata hubung ini menduduki bahagian hadapan ayat setelah berlakunya proses pasif atau pemasifan. Ayat tersebut sebenarnya berasal daripada ayat yang berikut:
1(a) Beliau menyatakan bahawa masalah itu sangat rumit. (Ayat aktif)
Apabila ayat aktif di atas ini dipasifkan, klausa “bahawa masalah itu sangat rumit” dikedepankan untuk membentuk ayat (1), iaitu:
1.Bahawa masalah itu sangat rumit dinyatakan oleh beliau.

Ayat (2) pula ialah ayat majmuk komplemen “untuk”. Ayat tersebut sebenarnya terdiri daripada dua ayat yang berikut, iaitu:

2(a) Pihak kerajaan menangani masalah itu.
2(b) Masalah itu amatlah sukar.
Apabila ayat tunggal 2(a) dan 2(b) digabungkan, ayat (2) yang terbentuk seperti yang di bawah ini:
2.Untuk pihak kerajaan menangani masalah itu amatlah sukar.
Apabila digabungkan, lazimnya bahagian “pihak kerajaan” digugurkan. Oleh hal yang demikian, kita sering menemukan ayat yang di bawah ini:
2(c) Untuk menangani masalah itu amatlah sukar.
Hal ini menjadi demikian kerana kata hubung “untuk” lazimnya diikuti oleh kata kerja, bukan kata atau frasa nama seperti “pihak kerajaan”.

Khamis, 9 Mei 2013

Hidung Bak Seludang



Masyarakat Melayu lama percaya kepada ilmu firasat, iaitu mengetahui perangai dan kelakuan seseorang berdasarkan bentuk tubuh, tanda-tanda pada badan, wajah malah bau peluhnya. Antara tempat yang menjadi perhatian ialah hidung.
Hidung yang agak besar mencerminkan seseorang itu cepat tersinggung, nafsunya besar dan agak pemalas. Hidung agak besar dan bulat pula mencerminkan dia seseorang yang bergaya.
Pelbagai bentuk hidung yang terdapat dalam kalangan ahli masyarakat kita. Hidung yang bagaimana yang  sering mendapat perhatian?
Hidung juga adalah antara anggota kebanggaan bangsa Melayu seperti perumpamaan “Hidung Bak Seludang” menggambarkan hidung mancung idaman bangsa kita. Mungkin kerana memang bangsa Melayu dijadikan Allah majoritinya berhidung pesek dan penyek, maka mereka mengidamkan hidung mancung.
Hidung mancung bak seludang ialah hidung yang cantik mencuat ke atas. Apakah seludang?Seludang ialah bahagian pokok kelapa yang bentuknya seperti hidung manusia yang dilihat dari sisi tepi.  Pernahkah anda melihatnya? Cuba lihat gambar di bawah. Persoalan tadi mungkin terjawab.


Rabu, 8 Mei 2013

Kata-kata Aluan atau Kata Alu-aluan



 Jika kita merujuk kepada kamus, kita akan dapati kata dasar bagi perkataan alu-aluan atau aluan ialah alu. Ada tiga makna yang diberikan bagi kata alu. Yang pertama ialah alat penumbuk padi atau antan. Makna yang kedua kata alu dijadikan bentuk terbitan mengalu-alukan untuk menimbulkan makna menyambut kedatangan tetamu. Makna yang ketiga pula ialah sejenis ikan laut dan kacang merah.
Dengan mengambil makna yang kedua kita dapat melihat cara kata alu mengalami dua proses penerbitan kata. Yang pertama ialah proses penggandaan iaitu alu menjadi alu-alu. Yang kedua ialah proses pengimbuhan iaitu penambahan apitan meN-…-kan pada kata alu-alu lantas terbit kata mengalu-alukan. Dengan kata lain, tidak betullah bentuk mengalukan. Jadi kita tidak boleh mengatakan Saya mengalukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan.
Dengan berdasarkan proses terbentuknya kata mengalu-alukan maka dapat kita tentukan bentuk kata nama yang terbit daripadanya. Kata atau ucapan untuk mengalu-alukan seseorang ialah alu-aluan, bukannya aluan. Jadi ungkapan yang tepat ialah kata alu-aluan. Demikian juga ucapan untuk menyambut kehadiran tamu ialah ucapan alu-aluan, bukannya ucapan aluan. Hal ini demikian kerana kata dasar alu perlu digandakan menjadi alu-alu lebih dulu untuk menimbulkan makna menyambut kehadiran tamu.
Sekian, untuk panduan semua.  

Ahad, 5 Mei 2013

KARANGAN DIALOG UNTUK 6A



 
ARAHAN KEPADA MURID-MURID ENAM AL FARABI:
  1. Baca dan fahami soalan penulisan di bawah.
  2. Buat analisis soalan. Kenal pasti maklumat dengan kata tanya siapa, mana, apa dll
  3. Bina peta minda berdasarkan kerangka karangan yang diberikan.
  4. Tulis karangan yang lengkap ke dalam Buku Penulisan B
  5. Pastikan kamu menggunakan kaedah ISCK untuk memantapkan isi karangan.
  6. Semak karangan kamu dengan kaedah PETAI
  7. Pastikan karangan kamu siap dalam masa setengah jam.
  8. Layari mana-mana laman web untuk mencari teknik menulis dialog.

Ketika sedang menunggu kenderaan bapa anda di pekarangan sekolah, anda dan rakan anda telah berbual–bual tentang cara–cara menangani masalah buli di sekolah.
Tulis dialog anda selengkapnya. Panjang karangan mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

KERANGKA

Pendahuluan:
  • ucap selamat
  • menyentuh isu buli

Isi 1
Mengetatkan peraturan sekolah
  • murid–murid yang terlibat dalam kes buli dikenakan hukuman berat
  • menghubungi / memanggil ibu bapa untuk berbincang
  • dirotan / digantung persekolahan / dibuang sekolah sebagai pengajaran.
 Isi 2
Memberi motivasi kepada murid–murid yang bermasalah / berpotensi membuli
  • memberi kaunseling
 Isi 3
Menempatkan pengawal keselamatan di sekolah
  • membantu pihak sekolah menangani masalah buli
  • menimbulkan rasa hormat dan takut dalam kalangan murid
Isi 4
Membanyakkan aktiviti kokurikulum
  • aktiviti berkumpulan
  • pertandingan kuiz, sukan, gotong–royong
 Penutup
Penutup perbualan

Petua Pelajar Cemerlang




Sambungan …
21Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
22Tahu petua mengulang kaji:
       cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
       siapkan semua 'bekalan' dengan sempurna
       duduk tegak dikerusi yang selesa
       baca doa penerang hati
       baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
       fikir dan ingat kembali isi utama
       catat/lakar
       semak semula ketepatan maklumat
       ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
       buat rumusan
       jawab soalan
       tampal maklumat yang rumit di dinding
       baca doa tanda kesyukuran selepas belajar

23Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca     surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.

Kehalusan Budi Bahasa


KATA PANGGILAN  HORMAT

Terdapat berbagai-bagai bentuk kata ganti diri dalam bahasa Melayu. Aspek yang berkaitan dengan hal itu ialah kata panggilan hormat. Khususnya dalam suasana rasmi, panggilan hormat ini amat penting kita kuasai. Dengan begitu kita tidak akan dikatakan tidak tahu bahasa atau tidak tahu adat.
Bentuk-bentuk panggilan hormat dalam bahasa Melayu mencerminkan kehalusan budi bahasa dan sikap menghormati orang. Setiap bentuk itu menandai letak atau kedudukan orang tertentu.
Dalam pentadbiran negara, orang yang menjadi tulang belakang ialah Ketua Setiausaha Negara. Di peringkat negeri ada Setiausaha Kerajaan Negeri. Mereka ini dipanggil Yang Berhormat.
Dalam masyarakat kita banyak orang yang dikurnia bintang oleh yang di-Pertuan  Agong, Sultan atau Raja. Antara penerima bintang itu ada yang diberi gelar seperti Tun, Tan Sri, Dato’ dan Datuk. Bagi yang bergelar Dato’ atau Datuk dan Tan Sri tetapi tidak memegang jawatan seperti Menteri atau jawatan lain yang membolehkannya dipanggil Yang Berhormat, panggilan hormatnya ialah Yang Berbahagia. Bagi yang bergelar Tun pula panggilan hormatnya ialah Yang Amat Berbahagia.
Bentuk panggilan hormat yang paling umum ialah Yang Mulia. Panggilan ini sesuai untuk berbagai-bagai golongan yang lain daripada yang dibincangkan tadi. Jadi apabila anda menulis surat rasmi atau mempengerusikan sesuatu majlis, eloklah anda menggunakan panggilan hormat itu. Selain Yang Mulia anda mungkin pernah mendengar bentuk panggilan Yang Berusaha. Bentuk ini biasanya digunakan untuk merujuk kepada orang yang mengendalikan sesuatu tugas khas seperti pengerusi dan setiausaha.
Demikianlah beberapa bentuk panggilan hormat yang perlu anda ketahui dan selanjutnya digunakan baik dalam penulisan surat rasmi mahupun dalam majlis rasmi.