Sabtu, 18 Mei 2013

Kenali Zaaba


Zainal Abidin Ahmad (16 September 1895 - 23 Oktober 1973), juga dikenali sebagai Zaaba merupakan seorang sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.
Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.
 Dilahirkan di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan, Zaaba menerima pendidikan awalnya di sebuah sekolah Melayu di Linggi. Beliau menyambung pembelajarannya di Institusi St. Paul Seremban dan merupakan orang Melayu pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan pada 1915.
Zaaba memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah di Johor Bahru pada tahun 1916, dan kemudiannya bertukar ke:
1918: Kolej Melayu Kuala Kangsar
1923: Jabatan Pendidikan, Kuala Lumpur
1924: Kolej Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim
1939: Jabatan Maklumat, Singapura sehingga 1942
1942: Pusat Pengajian Kajian Timur dan Afrika, Universiti London sehingga 1951
1954: Universiti Malaya, Singapura sehingga 1959.
Zaaba gemar membaca dan memiliki bakat dalam bidang penulisan. Kebanyakan hasil penulisannya muncul dalam akhbar-akhbar tempatan dan majalah-majalah seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Pengasuh, dan Pakar Majalah. Beliau telah menerbitkan beberapa siri monograf dalam bahasa Melayu, termasuk  Pelita Bahasa, dan Ilmu Mengarang. Hasil penulisannya yang lain termasuk Cerita-cerita Shakespeare yang diterbitkan oleh Percetakan Gudang Chap, Singapura.
Untuk menghargai jasa beliau, Zaaba telah dianugerahi:
1956: Gelaran Pendeta di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga
1959: Ijazah Kehormat dan Persuratan dari Universiti Malaya
1973: Ijazah Kehormat dan Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia
1962: Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan