Ahad, 19 Mei 2013
PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN
Kepada semua murid SK Alor Pongsu Bagan Serai Perak, khususnya anak-anak didik cikgu kelas Enam Arif, selamat menduduki Peperiksaan Pertengahan Tahun 2013 yang akan bermula pada Isnin 20.05.2013. Jadikanlah peperiksaan kali ini sebagai satu petanda yang positif bagi anda sebelum menjelangnya UPSR nanti. Tenangkan fikiran sepanjang masa peperiksaan. Jawab soalan yang mudah dahulu.Bagi soalan yang sukar pula, fikirlah berkali-kali. Insya-Allah dengan berkat usaha dan doa semua pihak, anda akan berjaya.Hasilkan keputusan yang terbaik..
Sabtu, 18 Mei 2013
Kenali Zaaba
Zainal Abidin Ahmad (16 September
1895 - 23 Oktober 1973), juga dikenali sebagai Zaaba merupakan seorang
sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar
tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau
merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai
seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.
Beliau merupakan seorang
cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam
kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada
penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan
Sultan Idris.
Isnin, 13 Mei 2013
Karangan Berita Enam Al Farabi
Soalan: Baru-baru ini sekolah kamu telah mengadakan Minggu Bahasa Melayu 2013.Kamu diminta menulis berita tentang perjalanan Minggu Bahasa Melayu 2013. Tuliskan beita berkenaan selengkapnya.
Sila gunakan rangka karangan yang disediakan di bawah.
Pendahuluan:
Isi 1 : Pertandingan Bercerita
Isi 2 : Berbalas Pantun
Penutupan: Majlis Penutupan
Selamat mengarang. Jangan malas bertanya.
Sila gunakan rangka karangan yang disediakan di bawah.
Pendahuluan:
- nama program
- tempoh program
- perasmian
- perasmi dan acara
Isi 1 : Pertandingan Bercerita
- penyertaan murid tahap 1 dan 2
- tempat pertandingan
- hakim pertandingan
- suasana pertandingan
Isi 2 : Berbalas Pantun
- penyertaan murid tahap 2
- tempat pertandingan
- hakim pertandingan
- suasana pertandingan
- penyertaan murid prasekolah
- tempat pertandingan
- hakim pertandingan
- suasana pertandingan
Penutupan: Majlis Penutupan
- penyampaian hadiah
- acara persembahan
- perasmian penutupan
- suasana majlis.
Selamat mengarang. Jangan malas bertanya.
Ahad, 12 Mei 2013
Dipanggil atau Disebut
Penggunaan kata panggil bagi maksud sebut agak meluas
digunakan. Dalam tulisan ilmiah dan rencana-rencana umum sering kita temukan
ayat-ayat seperti yang berikut ini:
- Alat ciptaan itu dipanggil “Gurger Mullar”
- Atom-atom sebatan sekarang dipanggil molekul
- Permukaan bumi ini sebahagian besarnya diliputi oleh air yang dipanggil “jagat air”.
- Atom-atom yang sama nombor jisimnya tetapi berlainan nombor atomnya dipanggil isobar.
- Unsur yang menjadi pokok pembicaraannya ayat dipanggil subjek.
Penggunaan kata dipanggil dalam
kelima-lima ayat itu ialah terjemahan terus kata is called dalam bahasa
Inggeris. Telah banyak sekali unsur bahasa Inggeris yang telah masuk ke dalam
bahasa Melayu. Unsur yang baik sahaja yang perlu diterima tetapi unsur yang
mungkin mencacatkan bahasa kita patut dihindarkan.
Kata panggil bermaksud menyuruh
datang atau kembali dengan menyebut namanya. Panggilan pula bermaksud bunyi
orang berteriak:suara orang memanggil atau gelaran yang diberikan kepada
seseorang yang dipanggil. Di sini dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa kata
panggil hanya sesuai digunakan untuk makhluk yang dapat menyahut atau
sekurang-kurangnya memahami panggilan. Penggunaan kata dipanggil dalam
ayat-ayat tadi tidaklah tepat. Kata yang sesuai ialah disebut, dinamai, aqtau
diberi nama. Ayat-ayat tersebut hendaklah dinyatakan sebagai :
- Alat ciptaan itu disebutl “Gurger Mullar”
- Atom-atom sebatan sekarang disebut molekul
- Permukaan bumi ini sebahagian besarnya diliputi oleh air yang disebut “jagat air”.
- Atom-atom yang sama nombor jisimnya tetapi berlainan nombor atomnya disebut isobar.
- Unsur yang menjadi pokok pembicaraannya ayat disebut subjek.
Rumusannya, tidak semua kata daripada bahasa Inggeris sesuai
untuk diserapkan ke dalam bahasa Melayu.
Dipetik daripada buku Tuntunan Bahasa - Awang Sariyan
Jumaat, 10 Mei 2013
Kata Hubung di Pangkal Ayat
Sebilangan
pengguna bahasa Melayu mengalami kekeliruan tentang kehadiran kata hubung di
pangkal ayat. Mereka berpendapat bahawa kata hubung sepatutnya hadir di
bahagian tengah ayat, bukan di pangkal ayat. Pendapat ini tidak benar. Jika
mereka menguasai binaan ayat, kekeliruan ini sudah pasti tidak akan berlaku.
Sila perhatikan ayat (1) hingga (5) yang berikut ini:
1. Bahawa masalah itu sangat rumit dinyatakan oleh beliau.
2. Untuk pihak kerajaan menangani masalah itu amatlah sukar.
3. Kerana tidak berpuas hati, beliau telah menentang ketuanya.
4. Walaupun tidak berpelajaran tinggi, beliau mampu melebarkan perniagaannya ke
peringkat antarabangsa.
5. Yang ini menu kegemaran saya.
Dalam ayat (1) perkataan “bahawa” ialah kata hubung
pancangan komplemen. Kata hubung ini menduduki bahagian hadapan ayat setelah
berlakunya proses pasif atau pemasifan. Ayat tersebut sebenarnya berasal
daripada ayat yang berikut:
1(a) Beliau menyatakan bahawa masalah itu sangat rumit.
(Ayat aktif)
Apabila ayat aktif di atas ini dipasifkan, klausa “bahawa
masalah itu sangat rumit” dikedepankan untuk membentuk ayat (1), iaitu:
1.Bahawa
masalah itu sangat rumit dinyatakan oleh beliau.
Ayat
(2) pula ialah ayat majmuk komplemen “untuk”. Ayat tersebut sebenarnya
terdiri daripada dua ayat yang berikut, iaitu:
2(a)
Pihak kerajaan menangani masalah itu.
2(b)
Masalah itu amatlah sukar.
Apabila
ayat tunggal 2(a) dan 2(b) digabungkan, ayat (2) yang terbentuk seperti yang di
bawah ini:
2.Untuk
pihak kerajaan menangani masalah itu amatlah sukar.
Apabila
digabungkan, lazimnya bahagian “pihak
kerajaan” digugurkan. Oleh hal yang demikian, kita sering menemukan ayat
yang di bawah ini:
2(c)
Untuk
menangani masalah itu amatlah sukar.
Hal
ini menjadi demikian kerana kata hubung “untuk” lazimnya diikuti oleh kata
kerja, bukan kata atau frasa nama seperti “pihak
kerajaan”.
Khamis, 9 Mei 2013
Hidung Bak Seludang
Masyarakat Melayu lama percaya
kepada ilmu firasat, iaitu mengetahui perangai dan kelakuan seseorang
berdasarkan bentuk tubuh, tanda-tanda pada badan, wajah malah bau peluhnya.
Antara tempat yang menjadi perhatian ialah hidung.
Hidung yang agak besar mencerminkan
seseorang itu cepat tersinggung, nafsunya besar dan agak pemalas. Hidung agak
besar dan bulat pula mencerminkan dia seseorang yang bergaya.
Pelbagai bentuk hidung yang
terdapat dalam kalangan ahli masyarakat kita. Hidung yang bagaimana yang sering mendapat perhatian?
Hidung juga adalah antara anggota
kebanggaan bangsa Melayu seperti perumpamaan “Hidung Bak Seludang”
menggambarkan hidung mancung idaman bangsa kita. Mungkin kerana memang bangsa
Melayu dijadikan Allah majoritinya berhidung pesek dan penyek, maka mereka mengidamkan
hidung mancung.
Hidung mancung bak seludang ialah hidung yang cantik mencuat ke atas. Apakah seludang?Seludang ialah bahagian pokok
kelapa yang bentuknya seperti hidung manusia yang dilihat dari sisi tepi. Pernahkah anda melihatnya? Cuba lihat gambar di bawah.
Persoalan tadi mungkin terjawab.
Rabu, 8 Mei 2013
Kata-kata Aluan atau Kata Alu-aluan
Jika kita merujuk kepada kamus,
kita akan dapati kata dasar bagi perkataan alu-aluan atau aluan ialah alu. Ada
tiga makna yang diberikan bagi kata alu. Yang pertama ialah alat penumbuk padi
atau antan. Makna yang kedua kata alu dijadikan bentuk terbitan mengalu-alukan
untuk menimbulkan makna menyambut kedatangan tetamu. Makna yang ketiga pula
ialah sejenis ikan laut dan kacang merah.
Dengan mengambil makna yang kedua
kita dapat melihat cara kata alu mengalami dua proses penerbitan kata. Yang
pertama ialah proses penggandaan iaitu alu menjadi alu-alu. Yang kedua ialah
proses pengimbuhan iaitu penambahan apitan meN-…-kan pada kata alu-alu lantas
terbit kata mengalu-alukan. Dengan kata lain, tidak betullah bentuk mengalukan.
Jadi kita tidak boleh mengatakan Saya mengalukan kehadiran tuan-tuan dan
puan-puan.
Dengan berdasarkan proses
terbentuknya kata mengalu-alukan maka dapat kita tentukan bentuk kata nama yang
terbit daripadanya. Kata atau ucapan untuk mengalu-alukan seseorang ialah
alu-aluan, bukannya aluan. Jadi ungkapan yang tepat ialah kata alu-aluan.
Demikian juga ucapan untuk menyambut kehadiran tamu ialah ucapan alu-aluan,
bukannya ucapan aluan. Hal ini demikian kerana kata dasar alu perlu digandakan
menjadi alu-alu lebih dulu untuk menimbulkan makna menyambut kehadiran tamu.
Sekian, untuk panduan semua.
Ahad, 5 Mei 2013
KARANGAN DIALOG UNTUK 6A
ARAHAN KEPADA MURID-MURID ENAM
AL FARABI:
- Baca dan fahami soalan penulisan di bawah.
- Buat analisis soalan. Kenal pasti maklumat dengan kata tanya siapa, mana, apa dll
- Bina peta minda berdasarkan kerangka karangan yang diberikan.
- Tulis karangan yang lengkap ke dalam Buku Penulisan B
- Pastikan kamu menggunakan kaedah ISCK untuk memantapkan isi karangan.
- Semak karangan kamu dengan kaedah PETAI
- Pastikan karangan kamu siap dalam masa setengah jam.
- Layari mana-mana laman web untuk mencari teknik menulis dialog.
Ketika sedang menunggu kenderaan bapa anda di
pekarangan sekolah, anda dan rakan anda telah berbual–bual tentang cara–cara
menangani masalah buli di sekolah.
Tulis dialog anda selengkapnya. Panjang karangan
mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.
KERANGKA
Pendahuluan:
- ucap selamat
- menyentuh isu buli
Isi 1
Mengetatkan peraturan
sekolah
- murid–murid yang terlibat dalam kes buli dikenakan hukuman berat
- menghubungi / memanggil ibu bapa untuk berbincang
- dirotan / digantung persekolahan / dibuang sekolah sebagai pengajaran.
Isi 2
Memberi motivasi kepada
murid–murid yang bermasalah / berpotensi membuli
- memberi kaunseling
Isi 3
Menempatkan pengawal
keselamatan di sekolah
- membantu pihak sekolah menangani masalah buli
- menimbulkan rasa hormat dan takut dalam kalangan murid
Isi 4
Membanyakkan aktiviti
kokurikulum
- aktiviti berkumpulan
- pertandingan kuiz, sukan, gotong–royong
Penutup
Penutup perbualan
Petua Pelajar Cemerlang
Sambungan …
21Mengulang kaji apabila
mulai terlupa.
22Tahu petua mengulang
kaji:
• cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
• siapkan semua 'bekalan' dengan sempurna
• duduk tegak dikerusi yang selesa
• baca doa penerang hati
• baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
• fikir dan ingat kembali isi utama
• catat/lakar
• semak semula ketepatan maklumat
• ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
• buat rumusan
• jawab soalan
• tampal maklumat yang rumit di dinding
• baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
23Tahu memberi ganjaran
kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan
sebagainya.
Kehalusan Budi Bahasa
KATA PANGGILAN HORMAT
Terdapat berbagai-bagai bentuk
kata ganti diri dalam bahasa Melayu. Aspek yang berkaitan dengan hal itu ialah
kata panggilan hormat. Khususnya dalam suasana rasmi, panggilan hormat ini amat
penting kita kuasai. Dengan begitu kita tidak akan dikatakan tidak tahu bahasa
atau tidak tahu adat.
Bentuk-bentuk panggilan hormat
dalam bahasa Melayu mencerminkan kehalusan budi bahasa dan sikap menghormati
orang. Setiap bentuk itu menandai letak atau kedudukan orang tertentu.
Dalam pentadbiran negara, orang
yang menjadi tulang belakang ialah Ketua Setiausaha Negara. Di peringkat negeri
ada Setiausaha Kerajaan Negeri. Mereka ini dipanggil Yang Berhormat.
Dalam masyarakat kita banyak
orang yang dikurnia bintang oleh yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Raja. Antara penerima
bintang itu ada yang diberi gelar seperti Tun, Tan Sri, Dato’ dan Datuk. Bagi
yang bergelar Dato’ atau Datuk dan Tan Sri tetapi tidak memegang jawatan
seperti Menteri atau jawatan lain yang membolehkannya dipanggil Yang Berhormat,
panggilan hormatnya ialah Yang Berbahagia. Bagi yang bergelar Tun pula
panggilan hormatnya ialah Yang Amat Berbahagia.
Bentuk panggilan hormat yang
paling umum ialah Yang Mulia. Panggilan ini sesuai untuk berbagai-bagai
golongan yang lain daripada yang dibincangkan tadi. Jadi apabila anda menulis
surat rasmi atau mempengerusikan sesuatu majlis, eloklah anda menggunakan
panggilan hormat itu. Selain Yang Mulia anda mungkin pernah mendengar bentuk
panggilan Yang Berusaha. Bentuk ini biasanya digunakan untuk merujuk kepada
orang yang mengendalikan sesuatu tugas khas seperti pengerusi dan setiausaha.
Demikianlah beberapa bentuk
panggilan hormat yang perlu anda ketahui dan selanjutnya digunakan baik dalam
penulisan surat rasmi mahupun dalam majlis rasmi.
Khamis, 2 Mei 2013
Langgan:
Catatan (Atom)